Langkawi, 12 Disember 2021 – Langkawi Swimming Festival 2021 (LSF) anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Tough Gorilla Ventures telah diadakan di Pantai Tanjung Rhu Langkawi. Dilaksanakan buat kali kedua setelah penganjuran edisi pertama pada tahun 2019, acara pelancongan ini diharap dapat meningkatkan imej Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat, selain turut menjadi hab utama bagi penganjuran acara sukan air negara.
“Pelaksanaan acara ini akan memberi petunjuk positif bahawa perairan Langkawi adalah selamat dan sesuai untuk aktiviti renang sama ada bagi tujuan sukan mahupun percutian keluarga. Kita yakin aktiviti sukan sebegini dapat menarik minat pelancong untuk terus berkunjung ke pulau ini. LADA akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti sebagai langkah menghidupkan semula penganjuran acara sukan di Langkawi,” kata YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan) LADA.
Empat kategori telah dipertandingkan dalam edisi LSF kali ini iaitu renang sejauh 2 km, 4 km dan 8 km, di samping acara renang bagi kanak-kanak sejauh 400 meter. Kategori kanak-kanak diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti renang sejadi atau open water swimming (OWS). Sejumlah 480 orang peserta telah mendaftar bagi acara ini dengan dua penyertaan dari negara jiran iaitu Singapura. Acara ini turut disertai oleh dua orang perenang kelainan upaya (OKU) iaitu Jeff Wong dan Faiq Adnan dari Selangor.