Pada 31 Disember 2019, Majlis Pelancaran ‘Langkawi Calendar of Event 2020’ telah dilaksanakan dengan gilang gemilang. Majlis ini diadakan bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 bertempat di Dataran Lang, Langkawi.
Acara ini bertujuan untuk mewar-warkan penerbitan ‘Calendar of Event 2020’ bagi Pulau Langkawi kepada umum terutama kepada penggiat pelancongan dan para pelancong di samping meraikan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Majlis Pelancaran ‘Calendar of Event 2020’ ini berkonsepkan Langkawi 2020 by the sea, yang mencakupi pelbagai aspek seperti persembahan kebudayaan dengan suntikan Langkawi Cultural DNA, jualan makanan tempatan Langkawi dan persembahan pentas. Majlis diakhiri dengan kemuncak pelancaran COE2020.

Majlis ini mempunyai keunikan tersendiri yang mana pelaksanaan acara ini melibatkan komuniti setempat dan juga pemain industri pelancongan di Langkawi. Selain itu, acara ini juga secara simboliknya menyatakan bahawa industri pelancongan di Langkawi telah bersedia bagi menyahut cabaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Majlis Pelancaran COE2020 ini juga dijadikan sebagai satu landasan untuk mewar-warkan kepada pemain industri pelancongan, pelancong dan juga komuniti setempat mengenai acara yang bakal berlangsung di Langkawi sepanjang tahun 2020. Inisiatif ini adalah bagi memberi peluang dan masa kepada pihak yang terlibat untuk merancang program promosi, percutian malah dapat merangka pakej-pakej yang bersesuaian dengan acara yang dirancang. Antara lainnya, majlis pada malam tersebut dilihat dapat memberi nilai tambah kepada pemain industri di Langkawi, pelancong dan juga penduduk setempat.

Dr. Hezri Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif LADA di dalam majlis tersebut memaklumkan bahawa sebanyak 38 acara ikonik telah dirancang sepanjang 2020 dan antara acara bertaraf antarabangsa adalah Ironman, Le Tour De Langkawi, The Royal Langkawi International Regatta, Royal Langkawi Cat Show dan banyak lagi acara pelancongan dan juga komuniti yang telah dijadualkan. LADA akan terus mengadakan sesi libat urus dan usahasama dengan semua jentera penggerak sama ada dari sektor kerajaan, swasta mahu pun pemain industri bagi memperhebatkan industri pelancongan Langkawi. Ia juga adalah selaras dengan kempen VMY2020 yang mensasarkan kedatangan pelancong seramai 30juta dan pendapatan pelancong dengan nilai RM100 billion bagi seluruh Malaysia. Dalam hubungan ini, LADA mensasarkan kedatangan pelancong seramai 4 juta orang pada tahun ini. Semoga sentuhan di pembukaan tahun 2020 ini dapat merancakkan lagi pelancongan Langkawi sebagai destinasi utama eko pelancongan dunia.