Langkawi, 19 Mei 2022 – Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Langkawi Geopark 2022 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan LADA (KSKL) telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks LADA. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd. Suhaimi bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA.

Penganjuran majlis ini merupakan antara usaha yang diketengahkan oleh LADA untuk merancakkan semula sektor pelancongan di Langkawi. Keluarga LADA bersama anak syarikat serta syarikat bersekutu telah sama-sama meraikan tetamu jemputan yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak hotel serta pelancong antarabangsa dan domestik Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBrs. Tuan Haji Nasaruddin bin Abdul Muttalib memaklumkan bahawa Langkawi mendapat sambutan baik daripada golongan pelancong semasa cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini. Sejumlah 107,417 orang pelancong telah memilih pulau ini sebagai destinasi percutian mereka khususnya dalam tempoh 28 April hingga 8 Mei 2022.

Kini, LADA giat melaksanakan promosi pada peringkat antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia.

#SyoknyaRayadiLangkawi
#LUGGp
#NaturallyLangkawi
#KeluargaLangkawi