Langkawi, 15 Februari 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada Syarikat Dangau Langkawi Enterprise. Penyerahan bantuan perniagaan ini telah disempurnakan oleh Cik Waffa Wahida binti Zainol, Pengurus Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan, LADA.

Bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Ekonomi Baru (PEB) di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) dalam membantu usahawan Langkawi yang terkesan akibat wabak COVID-19. Pemberian bantuan ini telah ditamatkan pada penghujung tahun 2022 memandangkan sektor ekonomi dilihat kian pulih dan terus berdaya tahan. Selain itu, operasi perniagaan telah mula dibuka seperti sedia kala setelah sektor pelancongan dalam proses kembali pulih dengan peningkatan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke Langkawi. Secara keseluruhannya, projek ini telah berjaya membantu sebahagian komuniti Langkawi yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 yang telah melanda negara.

Pemilik syarikat ini iaitu En. Mohd. Zaidi bin Abu Hassan telah menjalankan perniagaan makanan dan minuman berkonsepkan klasik dan kampung style. Dangau Langkawi yang terletak di Kg. Mawat, Ulu Melaka kian menjadi pilihan pengunjung untuk menikmati juadah sambil melihat kehijauan jelapang padi yang luas berlatarbelakangkan bukit bukau dan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan. Pihak LADA telah menyalurkan bantuan pembelian ‘Bakery Chiller’ untuk memudahkan urusan perniagaan beliau. Selain itu pemberian peralatan ini secara tidak langsung dapat membantu komuniti setempat yang berminat untuk meletak juadah pencuci mulut seperti kek dan pastry di cafe beliau.

Pihak LADA sentiasa prihatin dalam membantu para usahawan tempatan untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk meningkatkan sumber pendapatan. Semoga bantuan yang diberikan ini menjadi pendorong kepada semua usahawan untuk lebih bersemangat meningkatkan produktiviti pengeluaran perniagaan sedia ada dan meluaskan pasaran perniagaan ini ke peringkat yang lebih jauh.