Langkawi, 26 Mac 2022 – Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) tidak terkecuali dalam menyertai sambutan kempen ‘Earth Hour’ bersama seluruh dunia pada malam 26 Mac 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib berkata, kempen tahunan ‘Earth Hour’ anjuran The World Wide Fund for Nature (WWF) ini bertujuan menggalakkan individu, komuniti dan perniagaan untuk mematikan lampu elektrik bukan penting selama satu jam bermula 8.30 hingga 9.30 malam pada Sabtu terakhir bulan Mac.
“Kempen anjuran LADA ini diinovasikan melalui Program Kayuhan Malam yang melibatkan penduduk Langkawi dengan tema sedunia, ‘Shape Our Future’. Seramai 200 orang peserta akan membuat kayuhan sejauh 10 km yang akan bermula dan berakhir di Menara Maha,” katanya kepada media semasa membuat pelepasan peserta program pada malam ini.
Selari dengan sambutan ini, lampu Menara Maha dan sekitarnya akan dipadamkan selama satu jam sebagai langkah simbolik untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Selain itu, tindakan ini juga bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya lebih menghargai bumi serta mengurangkan penggunaan tenaga dan sumber yang berlebihan. Secara tidak langsung, program ini juga dapat mempromosikan Menara Maha sebagai produk pelancongan terkini yang bakal dibuka tidak lama lagi.
Pada peringkat global, kempen ini menyasarkan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global yang semakin meningkat.
“Kita berharap program ini dihayati dan disertai oleh pelbagai pihak bagi menyokong status LUGGp pulau ini. Ini merupakan salah satu usaha yang diatur bagi menjaga alam sekitar dan menyokong agenda kelestarian dunia, seterusnya memberikan kesedaran ke atas kesan perubahan iklim dunia.
Program ini juga sebahagian daripada aktiviti yang diatur bagi sambutan ulang tahun LADA ke-32 yang berlangsung sejak 15 hingga 31 Mac 2022. Pada malam ini juga, Langkawi akan dimeriahkan dengan acara Zumba i-Fit 4 Life serta pertunjukan api,” katanya lagi.