Langkawi, 29 Mei 2023 – Program SRI (Sustainable, Reliable & Income Program) telah diadakan di Ruang Daya Cipta (RDC), Kompleks LADA. Program ini telah disertai oleh penduduk Langkawi yang terdiri daripada golongan ibu tunggal B40 dan Wanita B40.

Semua peserta telah menghadiri kursus jahitan selama dua minggu. Kursus jahitan ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) & MyKasih dan dilaksanakan oleh SURI tanpa mengenakan sebarang kos penyertaan kepada peserta.

Program ini juga dikendalikan oleh Puan Salena Ahmad yang merupakan pengasas syarikat SURI. Beliau juga merupakan inovator kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Objektif utama SURI ialah untuk memaksimumkan keuntungan melalui perniagaan berasaskan jahitan yang didokong oleh golongan ibu tunggal. Tidak kira tua atau muda, menetap di bandar atau di desa, golongan wanita perlu mempunyai keyakinan dan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan.

Melalui program ini, para peserta dapat mempelajari teknik-teknik jahitan kreatif menghasilkan pelbagai jenis beg, teknik shinbori tie dye, reka bentuk pembangunan produk yang lestari dan berkualiti serta menjana pendapatan segera selepas tamat program.

Program ini merupakan siri pertama dan akan diteruskan sehingga siri ke-10. Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada para peserta dan diharap dapat menjadi sumber pendapatan kepada mereka.