Langkawi, 10 September 2022 – Pulau Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan peminat sukan berbasikal pada Kejohanan Langkawi Legendery Ride 2022. Acara ini merupakan edisi kedua dengan jumlah 1,640 penyertaan dari tujuh (7) buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Great Britain, Thailand, Australia, Netherland dan Perancis, selain penyertaan tempatan.

Acara ini merupakan penganjuran bersama di antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tough Gorilla Ventures. Kali ini, acara ini menawarkan tiga kategori iaitu Legendary Ride sejauh 101 kilometer (km), Eagle Ride (60 kilometer) dan Mahsuri Ride (30 kilometer) sebagai pilihan.

Turut hadir menyertai acara ini dalam kategori Eagle Ride (60 kilometer) ialah Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata Eagle Ride (60 kilometer).

“Futurise Sdn Bhd dan LADA telah menjalinkan kerjasama menjadikan Langkawi sebagai destinasi cyclotourism utama negara. Beberapa isu yang menjadi halangan seperti isu keselamatan, cukai dan logistik telah dikenal pasti dan dapat di atasi. Selain itu, ia turut membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi pada tahun ini dan seterusnya akan meningkatkan imej pulau peranginan dan menjadikan lokasi penganjuran sebagai acara sport tourism terkemuka dunia.” kata Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah ketika ditemui.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin bin Abdul Muttalib ketika ditemui berkata, penganjuran acara ini bertujuan untuk menjadikannya sebagai salah satu medium atau platform bagi memperkenalkan tempat-tempat yang sinonim dengan legenda-legenda yang terdapat di pulau ini.

“Langkawi amat sinonim dengan aktiviti berbasikal, malah penganjuran acara pelancongan berasaskan sukan basikal (sport tourism) seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) dan IRONMAN Malaysia telah pun menjadikan Langkawi sebagai salah satu lokasi pertandingan. Penganjuran acara berbasikal ini bukan sahaja dapat memberi limpahan ekonomi kepada komuniti Langkawi, malah turut menawarkan gaya hidup sihat dan memberi peluang kepada para pengayuh untuk menikmati keindahan dan kekayaan alam semula jadi pulau ini.” ulas beliau.

LADA yakin, acara-acara sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong kerana kebiasaannya peserta akan mengambil kesempatan yang ada untuk membawa keluarga bercuti sambil menyertai acara sukan berbasikal di Langkawi. Atas kepercayaan para pelumba basikal memilih Langkawi untuk acara-acara berprestij, kita menjangkakan statistik kedatangan pelancong ke Permata Kedah ini akan meningkat pada suku tahun keempat 2022.” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Selain itu, LLR 2022 juga sering dijadikan pentas untuk sesi memanaskan badan oleh peserta menjelang kejohanan triathlon IRONMAN Malaysia pada 5 November ini. Acara ini turut dimeriahkan dengan penyertaan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
10 September 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.