Tarikh : 18 Oktober 2023
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Auditorium, Kompleks LADA

KATA ALUAN
Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutasi
(akan disertakan kemudian)

PENGENALAN

1. Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, kita diberi kelapangan waktu untuk hadir ke Program Kita Madani @Langkawi pada pagi ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berusaha Kapten (B) Azizi bin Azizian, Pengarah Zon Utara Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Langkawi.

3. Seterusnya saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua peserta Program Kita Madani @Langkawi ke Auditorium LADA. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada J-KOM kerana memilih Langkawi sebagai lokasi penganjuran program yang julung-julung kalinya di adakan ini.

MALAYSIA MADANI

4. Pada 19 Januari yang lepas, YAB Perdana Menteri telah melancarkan gagasan MADANI sebagai tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

5. Gagasan Malaysia MADANI menggariskan enam (6) rukun iaitu KEMAMPANAN, KESEJAHTERAAN, DAYA CIPTA, HORMAT, KEYAKINAN dan IHSAN.

6. Melalui Malaysia MADANI ini, seluruh jentera Kerajaan kini mempunyai “arah” dalam memperincikan program dan gerak kerja masing-masing untuk mencapai aspirasi yang digagaskan sekali gus memberi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya.

Program Kita Madani @Langkawi

7. Program Kita Madani @Langkawi pada hari ini merupakan anjuran J-KOM, JPM dengan kerjasama pintar LADA, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi dan juga Tourism Academy Langkawi.

8. Matlamat utama penganjuran program ini ialah untuk menyuburkan nilai-nilai patriotisme dalam komuniti setempat termasuk dalam kalangan pelajar sekolah Tingkatan 6 dan setaraf di dalam Daerah Langkawi sejajar dengan salah satu dasar dalam konsep Malaysia MADANI iaitu menerusi sektor pendidikan. Selain itu, penglibatan penjawat awam jua disertakan bagi menyuburkan konsep berbudaya ilmu.

9. Program ini diadakan dengan konsep bersemuka bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman dasar-dasar negara di samping mengukuhkan dan mengekalkan semangat jati diri, patriotisme serta perpaduan dalam kalangan masyarakat. Ia juga bertujuan memberi nilai tambah dan penerangan mengenai konsep Malaysia Madani.

10. Untuk maklumat semua peserta, konsep pelaksanaan program ini merupakan dua hala yang memerlukan penglibatan aktif peserta. Oleh itu, saya amat berharap semua yang hadir pada hari ini dapat melibatkan diri secara aktif menyalurkan input berkisar tentang luahan rasa dan pandangan terhadap dasar-dasar kerajaan pada masa kini.

11. Maklum balas ini adalah penting dalam merencana sebarang dasar atau tindakan yang akan dilaksanakan pada masa depan supaya suara golongan sasaran diambil kira dalam sebarang dasar negara.

12. Bagi mencapai hasrat di atas, adalah penting bagi kita meraikan pembaharuan. Pembaharuan yang menyeluruh menuntut kita meraikan perubahan, terutama daripada perubahan sikap. Pelajar merupakan golongan penting yang akan menjadi pewaris legasi Malaysia Madani.

13. Oleh itu, saya berharap semua pelajar yang hadir pada hari ini akan melibatkan diri secara aktif dalam program kita pagi ini. Sebarang persoalan berkaitan konsep Malaysia Madani boleh diajukan pada hari ini. Insya’allah jawapan yang dicari akan ditemui pada program ini.

PENUTUP

14. Saya tidak ingin bercakap panjang-panjang. Kita harus maknai masa yang kita ada dengan bijaksana.

15. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program kita pada hari ini, terutama kepada J-KOM, JPM. Saya berharap usaha yang dilaksanakan oleh kita dapat mencapai objektifnya.

Sekian,terima kasih.

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.