Tarikh : 27 Ogos 2023
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Hotel Dash, Pantai Tengah

KATA ALUAN
Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutasi

Pengenalan

1. Alhamdulillah dengan izin-Nya jua, pada hari ini kita dapat sama-sama meraikan seramai 28 orang keluarga LADA, yang telah mempamerkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2022.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA atas kesudian untuk meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga LADA dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 hari ini. Pastinya kehadiran YAB Dato’ Seri memberikan makna yang lebih signifikan lagi, terutamanya kepada mereka yang diraikan.

3. Tidak dilupakan, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis pada hari. Saya amat teruja dengan kerjasama yang ditunjukkan untuk sama-sama menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 pada petang ini.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

YAB Dato Seri dan keluarga LADA sekalian,

4. Penganugerahan yang diberikan pada pagi ini amat bermakna bagi penerima dan juga keluarga LADA. Lebih-lebih lagi kehadiran YAB Dato Seri ke majlis ini. Ia menunjukkan bahawa pengorbanan dan sumbang bakti yang telah berikan oleh keluarga LADA semasa berkhidmat sentiasa dihargai dan tidak pernah dilupakan. Keluarga LADA merupakan agen perantara dan aset penting LADA dan perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan.

5. Semoga APC ini akan memberikan motivasi dan impak positif kepada semua keluarga LADA dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang dan selaras dengan hala tuju Kerajaan dan LADA.

6. Selain APC, daripada segi kemajuan kerjaya, keluarga LADA yang layak turut dicalonkan untuk dianugerahkan dengan pingat-pingat serta darjah-darjah kebesaran. Mungkin YAB Dato Seri boleh tolong tengok kan permohonan kami dari LADA. Malahan berpeluang dinaikkan pangkat sekiranya telah memenuhi syarat kenaikan pangkat dan menunjukkan prestasi dan kompetensi yang cemerlang tertakluk kepada kekosongan jawatan.

LADA Pemangkin Industri Pelancongan Langkawi

YAB Dato Seri dan keluarga LADA sekalian,

7. Penjawat awam ialah tonggak utama dalam pentadbiran kerajaan dan memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar serta pembangunan negara. Sebagai tunjang negara, perkhidmatan awam dipertanggungjawabkan merealisasikan dasar Kerajaan antara yang menjadi tumpuan ialah memulihkan semula ekonomi negara. LADA sebagai agensi peneraju pembangunan industri pelancongan di pulau ini perlu bertanggungjawab merealisasikan dasar ini.

8. Industri pelancongan di pulau peranginan ini semakin menunjukkan tanda pemulihan apabila kembali rancak dengan ketibaan cuti sekolah atau cuti umum. Jumlah pelancong yang datang berkunjung di pulau ini sehingga suku tahun kedua adalah seramai 1.3 juta orang atau 40.6 peratus daripada jumlah sasaran bagi tahun 2023 iaitu 3.2 juta orang. Bagi meneruskan momentum ini, LADA akan merancakkan lagi program promosi domestik dan juga antarabangsa.

9. Selain itu, LADA penganjuran acara bertaraf kebangsaan dan antarabangsa juga mampu menarik kehadiran pelancongan sekali gus mempromosi Langkawi sebagai hub penganjuran acara dan juga destinasi percutian keluarga. Sebanyak 14 acara telah dianjurkan sehingga 31 Julai 2023. Antar acara yang menjadi tumpuan pada tahun ini ialah Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA), Langkawi Legendary Ride, Langkawi International Half Marathin dan IRONMAN Malaysia Langkawi.

10. Di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada keluarga LADA berganding bahu untuk merealisasikan inisiatif yang telah dirangka dalam Pelan Strategik LADA 2022 – 2023 yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.

11. Izinkan saya menggunakan sedikit falsafah Islam supaya kita sama-sama dapat menghayati kebertanggungjawaban dan merasionalisasikan keberadaan kita sebagai penjawat awam di Langkawi.

12. Allah SWT menciptakan manusia agar dapat menjadi khalifah di muka bumi ini. Yang dimaksudkan dengan khalifah ialah bahawa manusia diciptakan untuk menjadi penguasa yang mengatur apa-apa yang ada di bumi dan dengan yang demikian manusia harus mampu memanfaatkan segala apa yang abadi bumi untuk kemaslahatannya.

13. Jika dilihat konsep Khalifah ini daripada perspektif yang lebih luas dan bukan lagi dari kaca mata Islam. Tugas serta tanggungjawab khalifah sesungguhnya amat besar. Tugas ini sangat penting untuk dilaksanakan bagi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

14. Apakah tanggungjawab itu? Ia ialah tanggungjawab terhadap diri, tanggungjawab terhadap keluarga, tanggungjawab anak kepada ibubapa, tanggungjawab terhadap masyarakat, tanggungjawab terhadap alam dan tanggungjawab terhadap LADA, tanggungjawab terhadap Langkawi, Negeri dan negara. Mari kita tanggung amanah yang diberikan ini bersama, agar mudah kita jawab di negeri abadi.

15. Terima kasih kepada YAB Dato’ Seri yang sentiasa menyokong segala usaha keluarga LADA serta membantu LADA dalam melaksanakan amanah ini. Bukan sekadar khidmat nasihat yang dihulurkan oleh YAB Daro Seri semasa mesyuarat. Malah turut memberi bantuan pakar untuk memberi nasihat dalam pengurusan pelaburan dalam Panel Penasihat Pelaburan LADA. Kami warga LADA terharu dengan perhatian dan kesungguhan YAB Dato’ Seri dalam membantu LADA membangunkan semula ekonomi Langkawi.

Penutup

16. Sebagai mengakhiri ucapan saya pada hari yang amat bermakna ini, sekalung penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri kerana sudi memenuhi jemputan kami.

17. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua penerima APC pada kali ini. Semoga momentum kejayaan dan kecemerlangan ini dapat dikekalkan pada masa akan datang. Jadilah khalifah dan marilah sama-sama berganding bahu membawa LADA dan Langkawi ke arah pembangunan pelancongan dan komuniti yang berdaya saing dengan kepimpinan berasaskan nilai teras LADA iaitu Berpasukan, Integriti dan Profesionalisme (BIP).

18. Semoga kita keluarga LADA akan dapat mengoptimumkan daya usaha dan kreativiti untuk mempertingkatkan hasil kerja kita bagi memenuhi harapan dan kepercayaan demi kemakmuran Pulau Langkawi.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.