Tarikh : 15 Januari 2022(Sabtu)
Masa : 7.30 Pagi
Tempat : Dataran Chenang, Langkawi

Pendahuluan

Hadirin yang dihormati sekalian,

1. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama pada pagi yang indah ini dalam penganjuran edisi pertama Langkawi International Folding Bike Festival 2022. Acara ini akan berlangsung selama 2 hari bermula hari ini, 15 Januari 2022 sehingga esok.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) yang telah bertanggungjawab untuk menganjurkan acara kita pada hari ini. Pastinya banyak usaha dan masa telah dicurahkan bagi memastikan perjalanan acara ini berjalan lancar, InsyaAllah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Untuk makluman semua, Langkawi International Folding Bike Festival merupakan acara sukan pelancongan yang pertama dianjurkan pada tahun 2022. Malah acara ini juga kali pertama dianjurkan di Langkawi selain acara berbasikal lain sebelum ini. Sama ada hadirin sedar atau tidak, sejak akhir-akhir ini acara berbasikal menjadi amat sinonim dengan bumi legenda Mahsuri susulan daripada semangat berbasikal yang diterap melalui pelancaran Langkawi Cyclo Tourism Trail pada tahun lalu.

4. Jika dilihat, acara ini berjaya melibatkan skala penyertaan yang boleh dikatakan besar iaitu dengan penyertaan tidak kurang daripada 670 orang peserta. Selain itu, 10 daripada peserta yang menyertai fun ride ini adalah terdiri daripada pelancong daripada Singapura, Indonesia dan Thailand.

5. Sebenarnya, kita amat mengalu-alukan penyertaan dengan jumlah yang lebih tinggi daripada penduduk tempatan dan para pelancong, namun berdasarkan SOP semasa, saya dimaklumkan bahawa maksimum hanya 1,000 orang peserta sahaja dibenarkan untuk menyertai acara ini pada satu-satu masa. Ini bagi memastikan pematuhan kepada SOP seperti menjaga penjarakan sosial serta lain-lain arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dapat dipatuhi. Saya yakin bahawa sebenarnya kita mampu menarik lebih ramai peserta terutamanya peserta dari luar Langkawi untuk menyertai acara ini sekiranya SOP mengizinkan pada masa akan datang.

6. Acara pada hari ini adalah berkonsepkan fun ride dengan elemen hiburan yang mana peserta turut dijemput untuk membuat aktiviti swafoto. Fun ride ini menawarkan laluan berbasikal sepanjang 30km yang akan bermula dan berakhir di Dataran Chenang. Dalam pada itu, semua peserta adalah layak untuk mendaftar bagi memenangi cabutan bertuah yang ditaja oleh beberapa buah hotel di seluruh Langkawi. Pemenang paling bertuah akan memiliki hadiah istimewa basikal lipat (folding bike). Kepada semua peserta jangan lepaskan peluang ini!

7. Saya difahamkan bahawa pihak penganjuran tidak membelakangkan aspek keselamatan dalam menganjurkan acara ini yang mana LTA menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Pejabat Belia dan Sukan Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan kejohanan ini berlangsung berlandaskan garis panduan dan kawalan keselamatan yang telah ditetapkan. Di samping itu, penganjur turut mendapatkan bantuan 6 buah motorsikal berkuasa tinggi yang akan mengiringi peserta sebagai Marshall sepanjang acara berlangsung.

8. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, persatuan dan kelab serta individu yang telah mengembleng tenaga dan usaha untuk menjayakan acara ini.

9. Kejayaan penganjuran acara atau kejohanan sebegini akan merintis peluang bagi penganjuran acara atau kejohanan lebih besar bertaraf antarabangsa di Langkawi dan Malaysia amnya. LADA juga telah menerima permohonan dan cadangan acara-acara sukan serta pelancongan untuk dianjurkan pada tahun ini.

10. Sehingga kini, LADA telah menerima hampir 24 cadangan acara untuk dianjurkan pada tahun ini. Antaranya adalah Ironman Langkawi, Langkawi Geopark Enduro Challenge, Legendary Ride, Viper Challenge dan pelbagai lagi acara lain. LADA berharap penganjuran acara ini dapat diteruskan bagi mengembalikan kerancakan industri pelancongan. Di samping itu, acara-acara ini juga akan membantu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti Langkawi seterusnya turut mempromosikan semula pulau ini secara tidak langsung, melalui liputan media sama ada secara tempatan atau antarabangsa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

11. Seperti tuan/puan sedia maklum, Langkawi amat terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Ini kerana kebergantungan aktiviti ekonomi kepada sektor pelancongan adalah melebihi 70% dalam kalangan penduduk pulau ini. Sektor ekonomi Langkawi sememangnya terjejas teruk terutamanya apabila larangan rentas sempadan negara dan negeri dikuatkuasakan pada tahun lalu.

12. Syukur Alhamdulillah, dengan pembukaan semula industri pelancongan kepada pelancong domestik pada 16 September 2021, komuniti Langkawi kini boleh menghela nafas lega. Hotel, pengusaha premis perniagaan, produk pelancongan dan sebagainya mulai dibanjiri pelancong dan pengunjung dari seluruh Malaysia. Saya kongsikan sedikit berkaitan data statistik kemasukan pelancong ke Langkawi.

13. Jumlah kemasukan pelancong pada tahun 2021 (1 Jan-31 Dis 2021) adalah sebanyak 1.07 juta pelancong. Kita sedar pada awalnya, Langkawi mengalami tekanan apabila penularan Covid-19 berleluasa dan tiada aktiviti pelancongan dapat dijalankan sehingga melumpuhkan hampir keseluruhan aktiviti di Langkawi. Setelah kerajaan melancarkan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi, pulau ini berjaya mencatat kemasukan pelancong sebanyak 0.72 juta orang mulai 16 September hingga 31 Disember 2021.

14. Lonjakan kemasukan pelancong sangat ketara pada Disember lepas dengan jumlah 297,000 pelancong berbanding sasaran awal sebanyak 250,000 orang. Ini mencatatkan kenaikan sebanyai 119% pada bulan tersebut (berdasarkan perbandingan sasaran awal dan pencapaian).

15. LADA percaya jumlah kedatangan pelancong akan terus meningkat terutamanya di musim cuti sekolah kerana Pulau Langkawi kini menjadi pilihan utama bagi percutian Keluarga Malaysia.

Penutup

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Suka saya mengingatkan, di dalam keterujaan kita sepanjang berada di Langkawi pada hari ini, janganlah lupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mematuhi prosedur operasi standard bagi mengelakkan risiko jangkitan berlaku di Langkawi. Sama-samalah kita menjaga keselamatan dan keharmonian Langkawi. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat pada hari ini.

17. Akhir kata dari saya, sebelum pulang ke destinasi masing-masing, luangkanlah masa tuan/puan untuk melawat produk-produk pelancongan di Langkawi serta berbelanjalah sama ada di premis bebas cukai mahupun restoran serta gerai-gerai makan bagi membantu meningkatkan ekonomi komuniti Langkawi khasnya. Bergembira dalam berwaspada. Selamat berbasikal.

Lafaz perasmian

18. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Langkawi International Folding Bike Festival 2022.

19. Sekian, Terima kasih.