Pada 14 September 2019 yang lalu telah berlangsung dengan meriahnya Acara Langkawi Legendary Ride 2019. Dataran Mar-mar Kuah, Langkawi telah dipilh sebagai lokasi perasmian dan pelepasan peserta bagi acara tersebut. Acara ini merupakan penganjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Tough Gorilla Venture Sdn Bhd yang telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mukhriz Tun Mahathir. Acara yang julung kali diadakan ini turut dihadiri oleh YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik, Timbalan Menteri Pelancongan beserta pasangan dan Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah.
Acara Langkawi Legendary Ride 2019 ini berjaya menerima penyertaan seramai 1000 orang peserta dari 13 buah negara. Kategori yang telah dipertandingkan dalam acara tersebut adalah 101 kilometer Legendary Ride, 60 kilometer Eagle Ride dan 30 kilometer Mahsuri Ride. Pihak penganjur meletakkan sasaran dan objektif penganjuran acara Langkawi Legendary Ride 2019 ini antaranya adalah untuk menjadikannya sebagai salah satu medium bagi memperkenalkan tempat-tempat yang sinonim dengan lagenda-lagenda yang terdapat di kepulauan Langkawi ini. Selain dari itu, penganjuran acara ini turut membantu memberi pendedahan kepada kelab dan juga komuniti dari segi pengalaman menganjurkan pertandingan berbasikal serta pengurusan am dan teknikal pertandingan acara berbasikal. Ianya turut membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi pada tahun 2019 dan seterusnya menjadikan Langkawi antara 10 destinasi pelancongan terkemuka dunia.