Tarikh : 28 Oktober 2023 (Sabtu)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Tapak Hospital Lama Kuah, Langkawi

KATA ALUAN
Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Langkawi UNESCO Global Geopark dan Salam Malaysia Madani.

SALUTASI

(Akan disertakan kemudian)

PENGENALAN

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, kita diberi kelapangan waktu untuk hadir ke Majlis Perasmian Kuah Graffiti Festival pada malam ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berusaha Encik Mohd. Yusri bin Mohd. Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ke Langkawi.

3. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) kerana sudi bekerjasama dengan LADA sebagai rakan strategik dan memilih Langkawi sebagai lokasi penganjuran program yang julung-julung kali diadakan ini.

4. Selamat datang juga kepada semua pelukis tempatan dan antarabangsa, pemain industri serta peminat seni graffiti yang telah menjayakan program ini bermula 27 Oktober hingga 30 Oktober 2023. Sokongan dan komitmen semua pihak dalam menjayakan program selama tiga (3) hari ini, menjadikan Majlis Perasmian Kuah Graffiti Festival lebih bermakna buat kita semua.

LATAR BELAKANG PROGRAM

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Program bertema graffiti telah mula dianjurkan di Langkawi sejak tahun 2019. Antara program kerjasama strategik antara Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dengan pihak LADA adalah program street art sekitar Pekan Kuah. Pada kali ini, kerjasama strategik kedua agensi diperluaskan lagi dengan penganjuran Kuah Graffiti Festival dengan tema pada tahun ini, Meeting of Styles.

6. Saya dimaklumkan bahawa seramai 63 orang artis tempatan dan antarabangsa daripada 11 buah negara telah menyertai program himpunan pelukis graffiti pada kali ini. LADA dan Langkawi berbesar hati menerima kunjungan para artis tempatan dan antarabangsa daripada Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura yang mewakili negara ASEAN, serta artis daripada negara China, Taiwan, Jepun, India, Australia, Denmark dan Ireland.

7. Saya yakin dengan adanya pelbagai pengisian program yang menarik seperti bengkel graffiti, bazar jualan dan pameran galeri seni sepanjang berlangsung festival ini, ianya akan dapat menarik minat penggiat seni, komuniti Langkawi, pemain industri dan para pelancong untuk hadir memeriahkan program ini.

LANGKAWI SEBAGAI HUB PENGANJURAN ACARA PELANCONGAN

8. Langkawi telah menjadi tumpuan dan pilihan utama pihak pengurusan acara (event management) bagi menganjurkan pelbagai jenis acara pelancongan. Sehingga bulan Oktober 2023, sebanyak 26 acara telah diadakan di Langkawi dan 70% daripada acara tersebut adalah berkonsepkan pelancongan sukan.

9. LADA mengamalkan dasar terbuka dan sentiasa menyambut baik serta menyokong penganjuran acara pelancongan berasaskan seni seperti Kuah Graffiti Festival ini. Dengan adanya penganjuran acara sebegini, secara tidak langsung dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

PRESTASI PELANCONGAN

10. Sehingga September, jumlah kehadiran pelancongan ke Langkawi berjumlah 2.04 juta orang bersamaan 64% daripada sasaran kehadiran bagi tahun 2023.

11. Saya dimaklumkan masih terdapat 15 acara yang telah dirancang sehingga akhir tahun, antaranya ialah:
Langkawi Geopark Enduro Challenge 2023 (12 November 2023);
Langkawi International Half Marathon 2023 (2 Disember 2023);
Pesta Bendang (16 – 17 Disember 2023); dan
Langkawi International Folk Fest 2023 (29-31 Disember 2023).

PENUTUP

12. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) serta semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini. Saya berharap usaha yang dilaksanakan ini akan dapat mencapai matlamat dan objektifnya.

Sekian,terima kasih.

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.