Pelaksanaan acara pelancongan dan sukan merupakan salah satu strategi untuk mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan seiring dengan matlamat LADA untuk memajukan Pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan dan pulau bebas cukai. Kejohanan ini juga memanfaatkan status Geopark Langkawi sebagai daya penarik utama dalam mempromosikan keindahan dan keaslian Langkawi kepada para peserta dan juga pelancong amnya.

Kejohanan Langkawi Geopark Enduro Challenge 2023 merupakan acara enduro terakhir dalam kalendar acara untuk sukan Enduro di Malaysia bagi tahun 2023. Malah ia merupakan pusingan terakhir bagi Siri Mountainbiker Enduro Championship (MEC) 2023 selepas Bukit Selantai di Mersing, Johor. Acara ini akan berlangsung di 99Bikes MTB Trail, Kampung Dato Bakar, Langkawi pada 11 dan 12 November 2023.

Sebanyak enam (6) kategori acara akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut dengan empat (4) peringkat perlumbaan dengan format pra-perlumbaan sesi seeding. Ringkasan kategori seperti berikut:
i. Terbuka Lelaki – umur 14 tahun ke atas
ii. Terbuka Wanita – umur 14 tahun ke atas
iii. Master (M30) – umur 30 ke 34 tahun
iv. Master (M35) – umur 35 ke 39 tahun
v. Master (M40) – umur 40 ke 44 tahun
vi. Master (M45) – umur 45 ke 49 tahun
vii. Master (M50) – umur 50 ke atas
viii. Junior (U20) – umur 14 ke 20 tahun

Acara ini telah berjaya menarik 300 orang penggemar sukan aktiviti sukan berbasikal lasak dari tujuh (7) buah negara German (2 peserta), Singapura (11 peserta), Indonesia (seorang peserta), United Kingdom (2 peserta), Itali (seorang peserta) dan Australia (seorang peserta) selain peserta dari Malaysia (283 peserta).

Selain itu, dianggarkan seramai 1,000 orang pengunjung terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat sukan enduro telah berkunjung ke Langkawi bagi menonton kejohanan ini di samping memberi sokongan kepada para peserta yang bertanding. Acara ini dijangka akan menjana pendapatan sektor pelancongan Langkawi dengan anggaran sebanyak RM650,000.00 sepanjang tempoh penganjuran di Langkawi.

LADA sentiasa memberi sokongan dan berusaha bagi merealisasikan hasrat pulau ini dijadikan lokasi penganjuran acara pelancongan yang berasakan sukan (sport tourism) bertaraf dunia.

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
11 November 2023
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________