Tarikh : 2 November 2022 (Selasa)
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Langkawi International Convention Center, Kuah Langkawi
KATA ALUAN
Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Salutasi
Seperti di Lampiran
Pengenalan
1. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmatNya telah mengizinkan kita untuk berada dalam Majlis Makan Malam Gemilang Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) di Langkawi International Convention Center yang indah ini.
2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Pengerusi MPSM Negeri Kedah dan seluruh ahli jawatankuasa penganjur kerana telah memilih pulau Legenda ini sebagai lokasi persidangan pada tahun ini. Diharapkan dengan suasana dan keindahan bumi Mahsuri ini dapat memberi inspirasi dan membuahkan idea dalam memperkasakan dan martabatkan profesion pendidikan negara.
3. Tidak lupa juga sekalung penghargaan kerana sudi mengundang saya untuk bersama – sama tuan-tuan dan puan-puan pada malam yang penuh gemilang ini.
Persidangan Majlis Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Kedah 2022
Hadirin yang dikasihi sekalian,
4. Persidangan Majlis Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Kedah telah berlangsung selama dua hari ini diharapkan telah dapat melahirkan kesepaduan dan muafakat dalam kalangan pengetua. Saya yakin persidangan tahunan ini bukan sekadar platform untuk bersua muka dan mengeratkan silaturahim dengan rakan sejawat. Persidangan ini dijadikan medan untuk mencetuskan kebijaksanaan baru (new wisdom) yang relevan dengan peranan dan tanggungjawab kepimpinan pendidikan bagi mendepani norma baharu.
5. Saban tahun kita dapat melihat kemajuan yang membanggakan daripada segi kualiti pengurusan sekolah di seluruh negara. Hal ini adalah kerana berkat usaha yang berterusan Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga tuan-tuan dan puan-puan untuk meningkatkan kecemerlangan pengurusan sekolah dan memartabatkan profesion keguruan. Saya yakin berkat usaha yang bersungguh-sungguh pastinya kita akan berjaya meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.
6. Kebelakangan ini, perubahan globalisasi ialah sesuatu yang tidak dapat dibendung lagi. Sekolah ialah organisasi yang tidak dapat lari daripada tuntutan perubahan tersebut. Tiada istilah pengecualian. Oleh itu pelbagai strategi dan kaedah perlu dirancang dan dilaksanakan .Walau bagaimanapun, peningkatan kualiti dan kompetensi guru dan berbagai –bagai lagi isu pendidikan lagi perlu diberi perhatian demi kelangsungan dunia pendidikan .
7. Cabaran dunia normal baharu pendidikan memerlukan kesepaduan dan semangat kental semua pengetua untuk berhadapan dengan segala isu yang mendatang. Perkembangan pendidikan tidak akan dapat dicapai sekiranya strategi yang dijalankan adalah tidak proaktif dan kreatif. Kecekapan penguasaan teknologi, dan kebijaksanaan pemimpin sekolah.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025)
Hadirin yang dikasihi sekalian,
8. Selari dengan aspirasi ini jelas ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) melalui anjakan kelima iaitu memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di tempatkan di setiap sekolah, pemimpin sekolah perlu bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan dan perkembangan pesat era globalisasi dan teknologi baharu komunikasi.
9. Era globalisasi telah membawa satu paradigma baharu dalam amalan komunikasi termasuk kepimpinan sekolah. Kepesatan teknologi telah merubah pendekatan kepimpinan tradisional kepada konsep kepimpinan maya. Kepimpinan maya adalah satu praktis amalan kepimpinan yang mengintegrasikan teknologi mudah alih (mobile technology) atau menggunakan komputer dalam menjalankan fungsi kepimpinan yang berbeza dengan kepimpinan tradisional atau konvensional.
10. Dalam hal ini pengetua perlu mengintegrasikan teknologi mudah alih dalam menjalankan fungsi kepimpinan terutamanya dalam kepimpinan instruksional yang berorientasikan peningkatan kualiti pengajaran, guru, kurikulum dan amalan penilaian untuk meningkatkan kualiti. Perkembangan dalam Advanced Information Technology seperti internet ,e-mel, persidangan video, membuka ruang yang luas untuk pengetua mengaplikasikan kepimpinan instruksional secara maya. Dengan kepimpinan instruksional maya membolehkan fungsi kepimpinan instruksional tanpa batasan jarak dan waktu.
11. Sebagaimana organisasi lain, sekolah juga ialah agen masyarakat yang sentiasa memenuhi kepuasan pelanggan. Oleh itu produk sekolah ialah melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang sama ada akademik mahupun kokurikulum. Justeru, sekolah seharusnya berusaha melahirkan dan menghasilkan produk terbaik bagi menjamin kesejahteraan negara pada masa akan datang.
12. Pimpinan barisan hadapan khususnya Pengetua memerlukan pendekatan yang berbeza untuk melaksanakan pentadbiran sekolah dan ada kalanya pendekatan tersebut adalah luar daripada kebiasaan. Namun, dalam mempraktikkan pendekatan yang diamalkan, aspek keselamatan, kesihatan dan sensitiviti semua pihak yang terlibat harus diberi keutamaan.
13. Penganjuran persidangan ini amat bertepatan dalam membantu dan memainkan peranan penting untuk merealisasikan hasrat KPM untuk mengangkat profesion ini di arena antarabangsa. Sesungguhnya peranan para Pengetua dan institusi pendidikan amat besar dalam usaha melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara apatah lagi dalam arus pemodenan yang semakin pesat pada masa kini.
14. Tahniah kepada MPSM yang berjaya memartabatkan profesion keguruan sehingga mampu membantu kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti serta berjiwa patriotik. Kita sedar bahawa kejayaan yang diperoleh dan disandang ini bukannya datang menggolek, tetapi banyak keringat, tenaga dan usaha yang telah diperah dan dikorbankan.
15. Saya amat yakin bahawa sistem pendidikan pada masa kini memerlukan perubahan yang sememangnya tidak dapat dielakkan supaya selaras dengan keperluan semasa. Sebagai peneraju sekolah, pengetua perlu mempersiapkan diri dan generasi akan datang bagi menghadapi pelbagai cabaran yang sudah tentu tidak sama lagi dengan yang ada pada hari ini. Menginsafi hakikat ini, tidak syak lagi sistem pendidikan menuntut kita untuk sentiasa memperbaharui diri dengan ilmu dan tekad yang baharu dari semasa ke semasa.
16. Saya menyarankan agar kita sentiasa memberi nilai tambah diri dengan terus belajar dan menambah ilmu supaya terus relevan dengan perubahan zaman. Walau bagaimanapun, pendidikan yang mengutamakan aspek akademik semata- mata akan menyebabkan lahirnya generasi yang pintar tetapi tidak mampu menonjolkan kebestariannya dalam tindakan atau membuat keputusan. Aspek kemanusiaan ini janganlah diketepikan kerana ia penting dalam pembentukan sahsiah yang seimbang, sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan pendidikan sebagai penjana kecemerlangan.
Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
Hadirin yang dikasihi sekalian,
17. Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) pula telah dilaksanakan mulai 2015 dengan matlamat untuk memantapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta mengukuhkan pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid. Sehingga kini, TS25 telah menampakkan hasil dalam mewujudkan suasana pembelajaran bermakna yang membawa kepada kemenjadian murid.
18. Justeru, saya harapan yang tinggi kepada semua pengetua untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan sekolah masing-masing. Saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan sebagai pemimpin sekolah akan terus memberikan khidmat yang cekap dan berkesan, sekali gus menjana potensi guru dan pelajar ke tahap yang optimum.
Peranan LADA Dalam Memperkasa Pendidikan Di Langkawi
Hadirin yang dikasihi sekalian,
19. LADA sentiasa memandang serius terhadap pembangunan modal insan dan sosial di Langkawi. Dalam usaha ini LADA menjadikan pembangunan komuniti yang progresif dan dinamik dijadikan satu teras utama dalam Pelan Strategik LADA 2022 – 2026. Berpaksikan matlamat mahu melihat anak-anak Langkawi berjaya di dalam pelbagai bidang dan membawa nama ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya mengharumkan nama Langkawi ke persada dunia.
20. LADA sentiasa menjadikan Pejabat Pendidikan Langkawi di bawah pimpinan Tuan Haji Mohd Kamal Bin Hashim sebagai rakan pintar bagi menganjurkan program-program untuk pelajar di Langkawi. Penganjuran program ini tidak terbatas kepada bidang akademik sahaja malah ia turut melibatkan pembangunan sosial dan kerohanian pelajar.
21. Antara program ikonik yang dianjurkan ialah Anugerah Kecemerlangan Pelajar atau lebih dikenali sebagai A-Kawi yang baru dianjurkan pada 30 November yang lalu. Anugerah ini direka khas untuk pelajar-pelajar di Langkawi bagi memberi penghargaan kepada mereka yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama persekolahan. Saya yakin Langkawi adalah satu-satunya daerah di Negeri Kedah yang menganjurkan program penghargaan kepada pelajar di peringkat daerah.
22. Pada tahun ini, seramai 63 orang pelajar cemerlang yang terdiri daripada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telah dinobatkan sebagai penerima anugerah mengikut kategori yang telah ditetapkan.
23. Selain itu, sebanyak empat (4) buah sekolah turut dinobatkan bagi kategori Anugerah Khas iaitu Maktab Mahmud Langkawi (Sekolah Menengah Terbaik SPM), Sekolah Menengah Tunku Putera (Sekolah Menengah Terbaik STPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi (Lonjakan Perdana Sekolah Menengah Terbaik SPM)
24. Program A-KAWI ini yang telah memasuki tahun kesembilan (9) penganjuran diharapkan akan terus menjadi motivasi kepada pelajar dan pentadbiran sekolah untuk terus berjaya dan cemerlang pada masa akan datang.
25. Pada tahun ini, LADA telah memberi peruntukan lebih kurang RM200 ribu bagi lima (5) program pendidikan dan pembangunan pelajar bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan 18 program yang telah dijalankan bersama sekolah di Langkawi di bawah teras Kebajikan dan Perpaduan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LADA.
Penutup
Hadirin yang dikasihi sekalian,
26. Sebelum mengundurkan diri, harapan saya agar persidangan ini akan mencapai objektif penganjurannya. Segala hasil yang diperoleh daripada permuafakatan ini diharapkan dapat menghasilkan natijah yang boleh dijadikan garis panduan dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan. Semoga segala usaha murni ini beroleh kejayaan dan keberkatan Allah S.W.T.
27. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Saya amat berharap tuan-tuan dan puan-puan pengetua sekolah dapat memanfaatkan persidangan MPSM Kedah 2022 demi kecemerlangan pendidikan. Tahniah dan terima kasih kepada pihak urus setia MPSM Kedah selaku tuan rumah persidangan kerana berjaya melaksanakan satu agenda besar MPSM Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.