Langkawi, 11 Ogos 2023 – Majlis Walkabout Pelancongan dan Perasmian Geopark Discovery Centre telah berlangsung dengan jayanya di Kilim Karst Geoforest Park. Majlis ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir dalam majlis ini, Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan, merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah LADA, Tuan Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan) LADA, Tuan Haji Ahmad Fuad Che Ani @ Abd Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, YBhg. Dato’ Abdul Gafar Bin Yahya, Pegawai Daerah Langkawi, pegawai-pegawai dan anak syarikat LADA serta agensi/Jabatan Kerajaan, pihak swasta, NGOs dan komuniti di sekitar Langkawi.
Dalam ucapan perasmian beliau, beliau menyatakan bahawa Kerajaan komited untuk mengangkat semula kedudukan Pulau Langkawi sebagai pusat pelancongan terkemuka bertaraf antarabangsa. YAB Perdana Menteri juga dibawa melawat untuk meninjau jeti pelancongan Kilim usai majlis perasmian di GDC. GDC merupakan satu pusat rujukan dan informasi yang utama mengenai Langkawi UNESCO Global Geopark di rantau Asia. Bukan itu sahaja, GDC telah menjadi pusat rujukan seluruh dunia untuk mempelajari tentang inisiatif dan pembangunan geopark, kelestarian, pembangunan komuniti dan kesedaran terhadap alam sekitar.
Salah satu inisiatif geopark Langkawi untuk mencapai ‘Sustainable Development Goals’ adalah dengan mengadakan aktiviti pembersihan geotapak (Geosite Clean Up Program) dan penanaman pokok bakau secara mingguan di Santuari Bakau, Kilim yang melibatkan para pelancong, pelbagai agensi, syarikat swasta, komuniti, para pelajar dan lain-lain. Inisiatif ini amat signifikan dalam memastikan kelestarian yang berpanjangan serta sebagai usaha untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar dan pemasanasan global. Santuari Bakau ini juga dapat menjamin bekalan makanan dengan kepelbagaian spesies dan kekayaan ekosistem.
Selain menjadi pusat rujukan dunia, GDC juga memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan Pendidikan Geopark kepada masyarakat umum tentang peri pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar demi kemakmuran bersama di masa hadapan. Diharapkan lebih ramai pelancong akan berkunjung ke Geopark Discovery Centre untuk lebih mengenali Langkawi UNESCO Global Geopark.
#LUGGp
#NaturallyLangkawi
#LangkawiBestWey