Langkawi, 30 Mac 2022 – Program ini bermula jam 8.00 pagi dan disertai oleh seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada 14 agensi/jabatan serta tiga (3) buah anak syarikat LADA di Langkawi. Matlamat utama pelaksanaan program ini adalah bagi menjaga kebersihan Pulau Langkawi supaya sentiasa bersih dan lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata,

“LADA amat bersyukur kerana mendapat sokongan daripada agensi seperti E-Idaman, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SwCorp), Pejabat Daerah Langkawi dan agensi lain. Kerja-kerja gotong-royong ini melibatkan lima (5) buah lokasi tumpuan iaitu Jambatan Sungai Kuah, Taman Lagenda, Restoran 1 Malaysia di Dataran Lang, Taman Chogm dan Tangga Lang di Gunung Raya sebagai lokasi utama. Kita menganggarkan sebanyak 1,000 kilogram sampah akan dikutip hari ini dan antara kerja-kerja lain khusus dilaksanakan pada kali ini adalah membersihkan laluan Tangga Seribu Kenangan bagi menjadikan lokasi ini antara lokasi tumpuan pelancong semula. Semoga aktiviti gotong-royong ini menjadi sebahagian daripada amalan murni penduduk Langkawi selaras dengan pengiktirafan Langkawi sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) yang mementingkan kelestarian alam sekitar di samping menjadikan Langkawi sebagai ‘Low Carbon Island’ yang pertama di negara ini.

Dengan gotong-royong sebegini bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada kebersihan alam sekitar, malah dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara agensi dan juga komuniti setempat.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
30 Mac 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.