Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Audit (JKAD) LADA Bil.2/2024 yang diadakan secara dalam talian.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Zunika binti Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi dan turut disertai YBhg. Datin Wira Rosni Binti Mohd Yusoff, Setiausaha Bahagian (Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun) dan YBrs. Tuan Abd Ghani bin Sulaiman, Ketua Unit Audit Dalam Perbendaharaan sebagai ahli JKAD LADA.

Kehadiran dan penglibatan YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamed, Ketua Pegawai Eksekutif LADA bersama kedua-dua Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan & Pembangunan dan Sektor Pengurusan) serta barisan pegawai-pegawai kanan LADA menunjukkan komitmen dan perhatian yang serius diberikan terhadap setiap penemuan pengauditan yang dijalankan oleh Unit Audit Dalam (UAD) LADA.

Mesyuarat yang dijadualkan secara berkala ini bertindak sebagai medium pemantauan daripada wakil ahli-ahli Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan LADA. Pematuhan terhadap peraturan dan pekeliling semasa diberi penekanan dalam setiap pelaksanaan tadbir urus di LADA. Selain membincangkan serta mengemas kini tindakan terhadap isu-isu berbangkit, mesyuarat turut memberi fokus kepada pembentangan isu dan penemuan audit oleh UAD.

Perbincangan dalam mesyuarat pada kali ini lebih tertumpu kepada penggunaan sistem yang dibangunkan secara in-house untuk proses penilaian terhadap pembekal perolehan. Semoga perkara yang dibangkitkan dalam pengauditan ini dapat memberi nilai tambah (value added) kepada LADA, dapat membantu pelaksanaan kerja supaya lebih efektif dan efisien serta dapat membantu dalam proses pelaksanaan pendigitalisasi di LADA.