Langkawi, 11 September 2022– Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada dua orang usahawan iaitu Idaman Makmur Resources dan Syarikat Maktellicious Enterprise. Penyerahan bantuan perniagaan ini telah disempurnakan oleh Cik Waffa Wahida binti Zainol, Pengurus, Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan, LADA. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Peluang Ekonomi Baru di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi dalam membantu usahawan yang terkesan dengan wabak COVID-19.
Pemilik syarikat Idaman Makmur Resources, En. Mohamad Ali bin Abdullah menjalankan perniagaan Coklat Buatan Tangan Langkawi. Sebelum ini, syarikat ini menggunakan kaedah tradisional bagi mencairkan coklat. Pemberian bantuan chocholate melting pot dan acuan coklat dari pihak LADA telah memudahkan lagi proses pembuatan coklat dan dapat memenuhi tempahan dari pelanggan.
Manakala pemilik syarikat Maktellicious Enterprise iaitu Puan Wan Zuria binti Wan Wan Din yang merupakan usahawan minuman latte dalam botol dan memasarkan minuman tersebut ke vendor-vendor di sekitar Langkawi. Syarikat ini menggunakan kaedah secara manual di mana proses penghasilan minuman dalam botol ini mengambil masa yang lama. Dengan adanya bantuan daripada LADA iaitu pembelian capping machine ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dalam perniagaan beliau.
Diharapkan bantuan yang disalurkan ini dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan untuk terus maju dan meningkatkan produktiviti pengeluaran produk kedua-dua syarikat ini.