Tarikh : 6 Mac 2022 (Ahad)
Masa : 2.30 petang
Tempat : Auditorium, Kompleks LADA
Terima kasih saudari pengerusi majlis,
1. Yang Berusaha Encik Azhari Bin Abdul Rashid
Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi
2. Yang Berusaha Cik Nordiana Binti Nordin
Pengurus, Unit Khidmat Korporat
3. Pengurus-Pengurus Bahagian/Unit LADA
4. Pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi
5. Para Ibu Bapa Dan seterusnya Para pelajar yang saya kasihi sekalian
Dan Salam Sejahtera,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
1. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinan Nya, kita dapat berkumpul di Auditorium, Kompleks LADA bagi menyempurnakan Program Back To School 2022.
2. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan serta pelajar yang hadir pada petang ini. Ini mencerminkan semangat pelajar-pelajar untuk memasuki sesi persekolahan tahun 2022 yang akan bermula tidak lama lagi.
3. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi (PPD Langkawi) yang memberi kerjasama bagi menjayakan program pada kali ini. Sesungguhnya PPD Langkawi merupakan rakan strategik LADA sejak sekian lama dalam USAHA KERAJAAN
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
4. Sejak penularan wabak Covid-19, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat mengharungi kesukaran hidup berikutan penutupan sementara beberapa sektor ekonomi yang menyebabkan pendapatan rakyat terjejas.
5. Bagi memastikan bebanan yang ditanggung oleh penduduk Langkawi yang kebanyakannya terlibat dengan sektor pelancongan, LADA juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian melaksanakan inisiatif seperti berikut:
i. Pelan Tindakan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) dengan peruntukan berjumlah RM3 juta;
ii. Peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM500,000.00 setahun; dan
iii. Peruntukan pembangunan komuniti berjumlah RM870,000.00.
6. Usaha-usaha ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib golongan yang kurang berkemampuan dalam memenuhi hasrat pembangunan negara.
7. Kerajaan juga sedar terdapat sebilangan masyarakat yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah. Ini ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup dan sejak akhir-akhir ini kita menghadapi saat-saat sukar dalam menghadapi penularan Covid-19.
PROGRAM BACK TO SCHOOL
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
8. Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi tidak mahu ketinggalan dalam membantu masyarakat dalam memberi dorongan kepada anak-anak Langkawi meneruskan sesi persekolahan melalui sumbangan Back To School kepada 200 orang penerima supaya tiada pelajar yang tercicir untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun 2022.
9. Program ini merupakan satu program amal komuniti bertujuan untuk membantu persediaan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah. Program ini memberi tumpuan kepada anak-anak yatim, kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan anak-anak golongan yang memerlukan bantuan di sekitar Langkawi.
10. Di bawah pembangunan komuniti, teras pembangunan modal insan merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan oleh LADA bagi membantu komuniti melahirkan generasi yang berilmu, mahir dan cemerlang dalam pendidikan. Maka LADA melihat jalinan kerjasama dengan pihak PPD Langkawi dapat memberi manfaat seperti berikut:
i) Mengurangkan beban kesusahan golongan memerlukan bantuan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan 2022;
ii) Memberi fokus kepada keluarga miskin yang mempunyai tanggungan yang ramai serta kurang berkemampuan untuk menyediakan uniform dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka; dan
iii) Memberi semangat dan keceriaan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
11. Pendidikan adalah merupakan tiket penting dalam mengubah kehidupan. Pendidikan dan pembelajaran yang berterusan di setiap peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi dapat membuka peluang pekerjaan cerah seterusnya menjamin kehidupan yang lebih baik.
12. Tanggungjawab untuk menentukan masa depan anak-anak bukanlah hanya semata-mata terletak pada bahu pendidik sahaja, ibu bapa dan pelajar perlu dibekalkan dengan usaha yang gigih dan disertai dengan doa dan tawakkal adalah ramuan untuk mencapai sesuatu kejayaan. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ra’D Ayat 11 bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, tidak ada apa yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya’.
13. Saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan, marilah sama-sama kita menjaga dan memelihara anak-anak yang diamanahkan oleh Allah S.W.T kepada kita. Masa depan negara hari ini terletak pada golongan muda yang masih berada di bangku sekolah, golongan belia dan beliawanis dan mahasiswa-mahasiswi yang bakal menjadi pemimpin.
14. Kepada anak-anak yang bakal mengharungi sesi persekolahan pada tahun 2022, kukuhkan semangat, tingkatkan motivasi dan perkemaskan jatidiri agar kekuatan sentiasa berada di sisi. Jangan mudah mengalah kepada kesulitan hidup, kerana setiap titisan air hujan yang jernih datangnya dari awan yang gelap.
15. Diharapkan dengan sedikit bantuan tunai bernilai RM150.00 kepada setiap penerima ini dapat memberi manfaat kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk digunakan bagi tujuan persekolahan anak-anak seterusnya dapat meringankan beban dalam menghadapi cabaran masa kini.
16. Usaha LADA bersama pihak PPD Langkawi tidak akan berhenti di sini sahaja, pelbagai program pembangunan insan telah direncanakan bagi memastikan anak-anak Langkawi tidak tercicir dan ketinggalan dalam arus pendidikan. Antara program yang telah dirancang adalah:
i) Program Lonjak Langkawi: Bengkel Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan;
ii) Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI);
iii) Program Psikomotor & Psikososial Murid Berkeperluan Khas; dan
iv) Program Pembangunan Kemahiran Sains & Teknologi: Bengkel Inovasi Kapal Terbang Kawalan Jauh.
PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
17. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan saya kepada pihak PPD Langkawi yang sentiasa memberi kerjasama baik dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan program ini.
18. Saya mendoakan agar anak-anak kita dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, bangsa dan negara.
19. Dengan lafaz saya dengan ini merasmikan PROGRAM BACK TO SCHOOL BAGI SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2022.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.