Tarikh : 9 April 2022 (Sabtu)
Masa : 6.30 Petang
Tempat : Masjid AL-Aman, Yooi, Mukim Bohor, Langkawi

Terima kasih saudara pengerusi majlis,
SALUTASI (AKAN DILAMPIRKAN)

Salam Ramadan Al-Mubarak,
Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

1. Pertama kali, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul di Masjid Al-Aman, Yooi, Mukim Bohor ini bagi menghadiri Program Jelajah Ramadhan Siri 1 Tahun 2022 bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak.

2. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan strategik LADA iaitu pihak RTM Langkawi kerana sudi bekerjasama mengimarahkan lagi program kita pada hari ini.

3. Tidak dilupakan kepada pihak urus setia iaitu Unit Khidmat Korporat, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Panorama Langkawi Sdn Bhd., Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Aman, dan Komuniti Kampung Yooi yang bersama-sama membantu untuk menjayakan program pada petang ini

Hadirin Yang dirahmati Allah sekalian,

4. Penganjuran program ini telah memasuki siri yang ke-57 pada tahun ini. Hampir semua masjid dan surau di sekitar Langkawi terlibat dalam program ini. Program yang telah memasuki tahun yang ke-19 ini merupakan acara tahunan LADA bagi mendekati dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

5. Sesungguhnya matlamat penganjuran program ini adalah untuk menyantuni golongan asnaf dan mengeratkan lagi tali silaturahim serta semangat kebersamaan antara keluarga LADA, anak syarikat serta komuniti setempat.

6. Selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) LADA dan anak syarikat LADA apa yang lebih penting ialah program ini merupakan salah satu cara bagi kami untuk turun padang bertemu dan beramah mesra dengan komuniti di Langkawi.

FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

Hadirin Yang dirahmati Allah sekalian,

7. Syukur Alhamdulillah, pengumuman oleh Perdana Menteri bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 merupakan tanda peralihan daripada fasa pandemik kepada fasa endemik di Malaysia. Saya yakin masyarakat di Kampung Yooi juga tidak terkecuali bersyukur kerana boleh melaksanakan rutin harian seperti biasa. Malah ruang solat juga sudah boleh dipenuhi tanpa adanya penjarakan sosial.

8. Namun begitu, diharapkan semua pihak tidak mengambil mudah dan kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa demi kebaikan bersama.

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

9. Hari ini genap kita berpuasa selama seminggu pada bulan yang mulia ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat meneruskan ibadah puasa dengan azam dan tekad untuk mempertingkatkan amal dan ibadah kita.

10. Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang dikenali dengan ‘permulaan adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan dari api neraka. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullulah SWA bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibuka lah pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

11. Daripada potongan hadis tersebut jelas membuktikan mulianya bulan Ramadhan. Saya doakan mudah-mudahan kita mendapat pertolongan Allah SWT sehingga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna pada tahun ini dan menjadikan kita manusia yang lebih baik. InsyaAllah.

12. Selain itu, Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia di dalam Islam kerana dalam bulan ini Allah SWT menurunkan al-Quran al-Karim dan berlakunya malam “Lailatulqadar” di mana malam tersebut lebih mulia dan berkat daripada seribu bulan.

BANTUAN DAN SUMBANGAN

Hadirin Yang dirahmati Allah sekalian,

13. Bersempena program Jelajah Ramadhan pada hari ini, LADA dan Panorama Langkawi Sdn. Bhd. berbesar hati untuk menyalurkan bantuan kepada anak kariah Masjid Al-Aman, Yooi yang memerlukan.

14. Seramai 32 orang penerima bantuan telah dikenal pasti oleh pihak jawatankuasa masjid akan menerima sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan asas bagi meraikan bulan Ramadan Al-Mubarak. Walaupun sumbangan ini tidaklah seberapa, namun diharapkan ia dapat membantu mengurangkan beban penerima.

15. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya kepada pihak urus setia, anak syarikat, RTM dan jawatankuasa Masjid Al-Aman, Yooi.

16. Tidak lupa juga penghargaan kepada semua hadirin yang sudi hadir bagi bersama-sama berbuka puasa dan menyerikan lagi majlis pada kali ini.
Sekian,
Wabillahi taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.