Tarikh : 10 Mac 2022 (Khamis)
Masa : 2. 00 petang
Tempat : Aloft Hotel, Pantai Tengah, Langkawi

KATA ALUAN

Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya kita semua dapat hadir pada Program REGTALK Cyclotourism @ Langkawi pada hari ini. Tujuan program ini diadakan untuk mendapatkan maklum balas beberapa isu yang sering dibangkitkan seperti pengawalseliaan untuk aktiviti berbasikal di jalan raya, isu keselamatan dan logistik di Langkawi. Maklumat ini penting membolehkan LADA menetapkan hala tuju pelaksanaan Cyclotourism di Langkawi sebagai salah satu usaha memperkasakan industri pelancongan serta meningkatkan lagi keterlibatan komuniti di dalam sektor pelancongan.

2. Dikesempatan ini juga saya mengalu-alukan kehadiran YBrs. Encik Rosihan Zain bin Baharudin, Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd. kerana sudi melapangkan masa bersama-sama untuk melibatkan diri dalam merealisasikan usaha memperkasa konsep cyclotourism di Langkawi. Sesungguhnya keterlibatan ini, menunjukkan keseriusan dan komitmen yang tinggi pihak syarikat Futurise dalam usaha membantu LADA menjadikan aktiviti berbasikal sebagai salah satu tarikan pelancongan di pulau ini.

PERKEMBANGAN AKTIVITI BERBASIKAL DI LANGKAWI

3. Aktiviti berbasikal merupakan satu aktiviti yang popular dan trending sejak penularan wabak COVID-19. Bukan sekali dua rakyat Malaysia mengadaptasi sesuatu yang trending dan aktiviti ini dilihat dapat melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan aktif. Malah Langkawi sememangnya sinonim dengan penganjuran acara pelancongan berasaskan sukan (sport tourism) seperti Ironman Malaysia Langkawi, Le Tour de Langkawi (LTdL), Langkawi International Mountain Bike Challenge (LIMBC), RHB Ride, Langkawi Legendary Ride dan pelbagai acara ikonik lain.

4. Penganjuran acara berbasikal ini bukan sahaja dapat memberi limpahan ekonomi kepada komuniti Langkawi, malah turut menawarkan gaya hidup sihat dan memberi peluang kepada para pengayuh untuk menikmati keindahan dan kekayaan alam semula jadi pulau ini. Selain menjayakan usaha untuk menjadikan Langkawi sebagai salah satu destinasi percutian eko dan geo terkemuka dunia dapat dicapai.

5. Aktiviti berbasikal sudah lama berkembang di Langkawi. Buktinya terdapat banyak pertubuhan dan kelab berbasikal yang aktif di Langkawi seperti Kelab Gerek Taman Wawasan Indah (TWI) Langkawi, Langkawi Island Mountain Bike Club (LIMBC) dan 99Bikes Langkawi Club.

6. Malah ada di antara kelab ini yang telah membuka dan menguruskan trail di sekitar Langkawi seperti Chengkuan MTB Trail dan 99Bike MTB Trail. Saya dimaklumkan kedua-dua trail ini telah dibina dan uruskan oleh anak tempatan. Dengan adanya sokongan dari kelab berbasikal di Langkawi ini saya yakin akan memudahkan pelaksanaan inisiatif menjadikan Langkawi sebagai destinasi berbasikal dan Hub Basikal Nasional.

7. Melihat kepada potensi cyclotourism di Langkawi, LADA telah menerbitkan risalah Langkawi Cycling Trail. Risalah ini akan dijadikan rujukan kepada penggemar aktiviti berbasikal kerana mempunyai maklumat berkaitan trail dan laluan yang digunakan bersesuaian dengan kemampuan atau jenis basikal yang digunakan.

8. Terdapat lebih 7 trek berbasikal yang telah disediakan di sekitar Langkawi berdasarkan minat dan kategori basikal. Lebih menarik trek ini telah dibina oleh kelab-kelab berbasikal di Langkawi.

9. Bagi mengiringi senario ini, LADA ingin terus memupuk gaya hidup sihat dan aktif dengan penglibatan komuniti dalam inisiatif ini. Kesempatan ini bukan sahaja perlu diambil oleh komuniti setempat malah pertubuhan atau kelab-kelab basikal di Langkawi juga perlu terlibat sama dengan menyediakan trek yang menarik untuk dilalui oleh pelancong. Usaha ini dilihat dapat membantu menjana pendapatan seterusnya memulihkan ekonomi Langkawi melalui penghasilan pakej-pakej pelancongan sambil berbasikal di sekitar Langkawi.

10. Suka juga saya kongsikan fakta bahawa di negara United Kingdom (UK), cyclingtourism menyumbang sebanyak RM3.5Bilion (£650M) kepada pendapatan ekonomi dengan menyediakan 15,000 peluang pekerjaan setahun. Purata perbelanjaan pelancong pula ialah sebanyak RM257.12 sehari atau RM1,980 pertrip (7 hari).

11. LADA berharap, satu hari nanti Langkawi Cycloturism ini dapat menjana pendapatan pelancongan yang tinggi serta mencipta lebih banyak peluang perniagaan serta pekerjaan kepada penduduk pulau ini.

PEMULIHAN SEKTOR PELANCONGAN LANGKAWI

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Alhamdullilah, sektor ekonomi Langkawi dilihat semakin pulih terutamanya selepas MOTAC memperkenalkan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi. Mulai 16 September hingga 31 Disember 2021 jumlah keseluruhan kemasukan pelancong melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi adalah 0.72 juta orang menjadikan jumlah keseluruhan pelancong ke Langkawi sebanyak 1.07 juta orang pada tahun 2021.

14. Kita berharap kedatangan pelancong ini akan terus merancakkan kembali sektor pelancongan Langkawi seterusnya mengembalikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

15. Dalam pada itu, Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi yang bermula pada 15 November tahun lalu telah memnyumbang kehadiran pelancong antarabangsa seramai 7,098 orang. Ini menjadikan kehadiran pelancong sehinggan 28 Februari 2022 adalah berjumlah 378,126 orang pelancong. Kita optimis bahawa jumlah kehadiran pelancong akan lebih baik pata tahun ini berbanding tahun lepas. LADA telah menyasarkan 2.2 juta pelancong akan berkunjung ke pulau ini pada tahun ini.

Penutup

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Berbalik kepada program kita pada hari ini, saya amat berharap program ini dapat mengumpul aspirasi untuk dijadikan input kepada penyediaan kerangka kerja dan juga inisiatif yang akan menjulang nama Langkawi sebagai destinasi pelancongan berbasikal negara. Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menggerakkan pelaksanaan pembangunan industri pelancongan Langkawi yang memberi manfaat kepada masyarakat, negeri dan negara. LADA sentisa menyambut baik cadangan dan idea dari mana-mana demi faedah semua.

17. Saya sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Kastam DiRaja Malaysia, dan tidak dilupa kepada Futurise yang telah membantu menjadikan program pada petang ini satu kenyataan. Kehadiran semua pada petang ini menggambarkan sokongan padu kepada usaha yang dijalankan oleh LADA. Semoga program ini memperoleh keberkatan dari-Nya dan memberi impak yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk inisiatif yang memberi manfaat dan kesejahteraan kepada penduduk Langkawi.

Sekian, terima kasih.