LADA sentiasa berusaha mempelbagaikan produk pelancongan bagi memastikan Pulau Langkawi terus menjadi destinasi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa. Terbaharu, Langkawi Agro Park akan dibangunkan di atas tanah milik LADA iaitu PT 506 dan PT 507 yang berkeluasan 7.98 ekar terletak di Kuala Sungai Melaka secara Manage and Operate (M&O).

Projek ini merupakan projek kerjasama pintar di antara LADA dan Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat milikan penuh Bioalpha Holdings Berhad. Syarikat Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. akan bertanggungjawab untuk membangunkan projek ini. Manakala, Syarikat Bioalpha Holdings Berhad akan menjadi penjamin melalui Corporate Guarantee Agreement (CGA) bagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi Syarikat untuk memastikan projek ini dilaksanakan.

Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. akan membangunkan Projek Langkawi Agro Park sebagai destinasi pelancongan agro yang memperkenalkan dunia pertanian dengan menyajikan pengalaman unik dan imersif kepada pengunjung, selain daripada mempromosikan kepelbagaian tumbuhan herba tempatan di Malaysia yang digunakan oleh masyarakat tempatan sebagai ubatan alternatif serta tradisional yang mempunyai pelbagai khasiat. Dianggarkan lebih 10 spesies herba akan ditanam di kawasan Langkawi Agro Park ini.

Selain itu, Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. juga akan menerapkan konsep edutainment di kawasan ini. Langkawi Agro Park akan berperanan sebagai showcase yang akan menunjukkan rantaian proses penghasilan produk dari ladang sehingga produk siap untuk dipasarkan. Anggaran kos membangunkan projek Langkawi Agro Park adalah sebanyak RM15 juta.

Komponen-komponen pembangunan yang dicadangkan adalah seperti berikut :

Bil. Komponen Pembangunan Fungsi
1. Galeri Jualan/ merchandise i. Pusat perkhidmatan dan jualan produk herba tradisional
ii. Kraf tangan tempatan
iii. Ruang untuk disewakan kepada peniaga luar (seperti BMS Organik )
2. Galeri Herba i. Pameran produk makanan dan herba (daripada kilang-kilang)
ii. Pusat Informasi Herba-herba Malaysia
iii. Hasil jurnal pengajian
3. Bilik Pameran Demonstrasi i. Bimbingan memproses herba yang dipetik menjadi suplemen kesihatan/uncang teh
ii. Makanan & minuman (masakan berasaskan herba, pembuatan ais krim dan lain-lain)
4. Restoran Organik Terbuka (Outdoor) i. Hidangan restoran disediakan menggunakan herba tempatan sekitar restoran.
ii. Bahan tambahan akan diperoleh dari ladang yang mengikut piawaian organik
5. Agro/ Taman Herba i. Maklumat terperinci bagi setiap herba dan tumbuhan (Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Roselle, Halia, Durian Belanda & Markisa)
ii. Kemudahan teknologi terkini (rumah hijau dengan kemudahan hidroponik)

Melalui projek pelaburan ini, penduduk dan peniaga tempatan juga akan turut menerima manfaat ekonomi kerana Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk memberi khidmat nasihat mengenai kaedah penanaman pokok herba berkualiti kepada penduduk tempatan dan bersedia untuk membeli tanaman herba tempatan tersebut bagi penghasilan produk herba. Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. juga bersetuju untuk menghasilkan sekurang-kurangnya dua (2) jenis produk berasaskan herba Langkawi dalam tempoh konsesi selama 30 tahun.

Bagi memastikan penduduk tempatan terutama penduduk Langkawi mendapat manfaat daripada projek ini, LADA telah mensyaratkan Bioalpha Wellness Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja adalah di kalangan penduduk tempatan Langkawi atau negeri Kedah. Pelaksanaan pembangunan projek ini juga akan menambah nilai kepada pilihan pelancong yang datang ke Langkawi

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
2 Disember 2023
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________