Tarikh : 19 Mei 2022 (Khamis)
Masa : 12.00 tengah hari
Tempat : Kompleks LADA
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera.
1. Syukur Alhamdullillah dipanjatkan kepada Allah SWT kerana kita masih berada dalam suasana Hari Raya Aidilfitri atau Eid-Mubarak yang tenang dan aman. Marilah kita merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan kita menjalani ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan yang lalu.
2. Izinkan saya mengalu-alukan tetamu utama kita iaitu Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada hari ini.
3. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hadirin sekalian terutama kepada seluruh keluarga Langkawi yang dapat hadir bersama-sama pada hari ini, bagi meraikan program Ramah Mesra Aidilfitri Langkawi Geopark 2022 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan LADA (KSKL). Sebagai sebuah keluarga Langkawi yang besar, program sebegini amat penting untuk merapatkan silaturahim sesama kita. Saya juga mengambil kesempatan, untuk mengajak sahabat-sahabat, saudara-saudara, rakan dan taulan untuk bergembira dan beramah mesra pada hari ini. Kita kan keluarga Langkawi.
4. Tidak dilupakan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan kepimpinan KSKL dan ahli keluarga LADA yang telah menganjurkan program yang meriah pada hari ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Kemeriahan sambutan perayaan di negara kita merupakan salah satu inisiatif pelancongan yang sentiasa berjaya menarik perhatian pelancong asing. Lantaran itu, KSKL telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini sebagai salah satu usaha menyemarakkan dan merancakkan semula sektor pelancongan di Langkawi yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.
6. Melalui program ini keluarga LADA ingin menzahirkan sikap keterbukaan dan ambil peduli dalam usaha membantu komuniti Langkawi untuk bangkit semula dalam sektor pelancongan berkonsepkan keluarga Langkawi bagi memperkasa industri pelancongan pulau ini. Justeru, adalah sangat penting institusi kekeluargaan pelancongan Langkawi diperkukuh lagi dengan rasa hormat, saling membantu di antara satu sama lain. Ia juga dapat dijadikan platform kepada semua pemegang taruh LADA dan Langkawi untuk beramah mesra seterusnya memperkukuh ukhuwah dan menyemarakkan lagi semangat keluarga pelancongan Langkawi.
7. Sesungguhnya, saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama berusaha membangunkan pulau ini sebagai salah sebuah destinasi pelancongan terunggul di Malaysia selepas kemelut COVID-19 berlalu.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Sebagaimana semua sedia maklum, sasaran jumlah kemasukan pelancong pada tahun ini ialah 2.5 juta orang merupakan “Misi Keluarga Langkawi”. Ia melibatkan komitmen semua pihak ke arah mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Ia memerlukan komitmen semua lapisan komuniti sama ada agensi kerajaan, pihak swasta, pengusaha hotel, homestay, agensi pelancongan, pemandu pelancong dan penduduk setempat untuk sama-sama meraikan kedatangan pelancong baik asing mahupun tempatan sepanjang tahun 2022.
9. Dalam usaha mencapai sasaran tersebut, LADA telah memperkemas strategi promosi domestik dan antarabangsa. Untuk makluman, sebanyak sembilan (9) program promosi antarabangsa dan enam (6) program promosi domestik telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.
10. LADA amat berharap mulai suku tahun ketiga nanti, Langkawi akan menerima pelancong dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait. Kita juga menyasarkan sebanyak 15 peratus (375,000) pelancong yang datang ke Langkawi terdiri daripada pelancong antarabangsa pada tahun ini.
11. Manakala pada bulan November dan Disember 2022, kehadiran pelancong dari benua Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Switzerland dijangka akan membanjiri pulau pelancongan ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Bagi merancakkan kembali aktiviti pelancongan Langkawi, pelbagai acara berimpak tinggi telah dirancang sepanjang tahun 2022. Antaranya ialah IRONMAN Malaysia Langkawi, Langkawi International Beach Soccer, ASEAN International Course on UNESCO Geopark. Terhampir, Karnival Langkawi Geopark 2022 yang akan berlangsung selama sebulan mulai 1 Jun hingga 30 Jun 2022. Karnival ini turut dilaksanakan bersempena sambutan ulang tahun yang ke-15, Langkawi menjadi ahli UNESCO Global Geopark semenjak tahun 2007. Insya’Allah Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah merangkap Penaung DiRaja Langkawi UNESCO Global Geopark akan turut hadir memeriahkan karnival ini.
13. Di samping itu, Langkawi turut menawarkan produk pelancongan terkini seperti Splash Out, Perdana Quay Eco Marine Park dan Menara MAHA yang dijangka akan menjadi daya penarik baru kepada pelancong yang berkunjung ke sini.
14. Malah, pembukaan hotel baharu seperti Mercure Langkawi diharapkan mampu menarik kumpulan pelancong mewah (high-end tourists) ke Langkawi, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan sektor pelancongan pulau ini. LADA optimis pendapatan pelancongan tahun ini akan meningkat berbanding tahun sebelumnya dengan anggaran RM836 juta.
15. Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menghidupkan semula industri pelancongan Langkawi. Kita bangkit sebagai sebuah Keluarga Langkawi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
16. Saya tidak bercadang mengambil masa yang lama untuk berucap pada hari ini. Justeru, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan program ini dan tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus untuk menjayakan program Ramah Mesra Aidilfitri Langkawi Geopark 2022.
17. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Terimalah serangkap pantun daripada saya:
Aildil Fitri Hari Kemaafan,
Menghapus Kesalahan Di Kalangan Taulan,
Memupuk Perpaduan Sesama Insan,
Mengikat Erat Tali Keakraban.
Sekian,
Wabillahi taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.