KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (MOSTI)

Hub reka cipta Sains dan Teknologi pupuk nilai inovasi dan teknousahawan di kalangan komuniti luar bandar dalam menangani isu-isu sosioekonomi dan setempat.

LANGKAWI, 8 OGOS 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi dalam usaha untuk memupuk nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan komuniti luar bandar.

Majlis yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, “Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia yang dibangunkan ini bermatlamat untuk membudayakan STIE dalam melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan berinovatif menerusi kaedah Quintuple Helix (Kerajaan, Industri, Akademia, Masyarakat dan Alam Sekitar)”.

“Komuniti di kawasan Langkawi berpeluang untuk menggunapakai hub Ruang Reka ini secara percuma yang mana ia menggabungkan elemen bengkel mesin, bengkel kraftangan (seni & kraftangan), atau studio di mana orang awam, ahli akademik/pelajar, syarikat pemula, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan masyarakat secara keseluruhannya boleh berkongsi sumber dan pengetahuan”, tambah beliau.

“Selain itu, penekanan akan turut diberikan kepada pembangunan innopreneur iaitu melahirkan usahawan berlandaskan inovasi dalam kalangan B40 dan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang membabitkan produk inovasi dan ekonomi digital”, ujar beliau lagi.

Dengan adanya Ruang Reka ini, ia dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.

Setakat ini, MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah diberikan mandat untuk membangunkan 8 buah Ruang Reka antaranya di Selangor, Sabah, Sarawak, Melaka, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan dan termasuklah di Langkawi, Kedah.

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi merupakan kerjasama di antara YIM, LADA dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam membangunkan pengetahuan penduduk setempat melalui kursus yang akan ditawarkan kepada komuniti setempat. Selain itu, ia juga turut di bantu oleh Persatuan Rekreasi dan Inovasi Ibu Tunggal (SURI) yang memberi peluang kepada semua golongan B40 seperti ibu tunggal, belia dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima latihan dan seterusnya menjana pendapatan isi rumah.

“LADA menyambut baik akan penyediaan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Langkawi. LADA telah menawarkan satu aset ruang pejabat milik LADA untuk dijadikan sebagai platform kepada golongan usahawan, penggiat industri pelancongan dan juga golongan belia mengasah bakat serta mengetengahkan seni kreatif dan karya inovatif yang dimiliki oleh komuniti Langkawi. Dengan adanya Ruang Reka STEI ini, LADA berharap usaha untuk membangunkan ekonomi dan pendapatan penduduk pulau ini dapat dipertingkatkan dan menjadikan usahawan di bumi legenda ini setanding dengan usahawan bandar-bandar besar.” kata Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA semasa ditemui hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa LADA berhasrat agar lebih ramai usahawan Langkawi berjaya di dalam pelbagai bidang serta dapat bersaing dalam pasaran yang lebih besar dan menguntungkan, seterusnya diangkat sebagai usahawan global satu hari nanti.

“Ruang Reka ini juga dapat memperkukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi tumpuan digital nomad yang semakin ramai di sini. Mereka boleh menggunakan kemudahan di sini sebagai tempat untuk merekacipta dan bertukar pandangan.” ulas beliau lagi.

Pengurusan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini akan dilaksanakan secara pengurusan bersama di antara LADA, Kelab Sukan dan Kebajikan LADA dengan persatuan-persatuan usahawan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kelab-kelab belia di Langkawi. Konsep pengurusan bersama ini dipilih agar kemudahan yang disediakan dapat digunakan secara aktif oleh komuniti di Langkawi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pusat ini.

Melalui hub ruang reka yang dibangunkan, MOSTI menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi diterajui sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan. Selain itu, hub ini juga dapat mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat-bakat tempatan di dalam bidang sains dan inovasi.

Ini secara langsung kepada membantu pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada 2030.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
8 OGOS 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.