Langkawi, 23 Ogos 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) meneruskan legasi meraikan pelajar cemerlang Langkawi di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI) bertempat di Hotel Wings, Pandang Matsirat. Seramai 60 orang pelajar cemerlang yang terdiri daripada 40 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 20 orang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari lapan (8) buah sekolah di Langkawi.

“Matlamat utama program ini, adalah untuk memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang serta memberi motivasi kepada pelajar yang bakal mengambil peperiksaan pada tahun ini. Inisiatif ini adalah bertepatan dengan salah satu fokus utama dalam Pelan Strategik LADA 2022 – 2026 iaitu pembangunan komuniti yang progresif dan dinamik. LADA dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi akan terus melaksanakan inisiatif dan program yang dapat membantu melonjakkan prestasi pelajar Langkawi.” kata Wan Kamarul Faisal Bin Wan Kamardin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan & Pembangunan), LADA.

Dalam majlis yang sama juga, enam (6) buah sekolah turut dinobatkan bagi kategori Anugerah Khas iaitu Maktab Mahmud Langkawi (Sekolah Menengah Terbaik SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra (Sekolah Menengah Terbaik STPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang (Lonjakan Perdana Sekolah Menengah Terbaik SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang (Terbaik Kokurikulum dan Terbaik Geopark Sekolah Menengah), Sekolah Kebangsaan Bayas (Terbaik Kokurikulum Sekolah Kebangsaan) dan Sekolah Kebangsaan Kedawang (Terbaik Geopark Sekolah Kebangsaan).

Selain itu, LADA juga telah menambah baik elemen pemberian sumbangan hadiah bagi tiga (3) kategori daripada RM1,000.00 kepada RM2,000.00 bagi mengiktiraf usaha pihak sekolah untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM.

Pada tahun ini, bagi Anugerah Pelajar Terbaik (keseluruhan) telah dianugerahkan kepada adik Hamidah binti Baharin dari SMK Tunku Putra bagi peperiksaan STPM dan bagi peperiksaan SPM pula disandang oleh adik Lim Chia Min dari SMK Mahsuri.

Beberapa anugerah tambahan telah diperkenalkan pada tahun ini, terutamanya di dalam bidang kokurikulum bagi memberi nilai tambah kepada komponen kemenjadian pelajar-pelajar Langkawi. Antara anugerah yang dimaksudkan ialah Sekolah Terbaik Geopark (Sekolah Menengah), Pelajar Terbaik Pendidikan Khas (Sekolah Kebangsaan / Sekolah Menengah Kebangsaan) dan Pelajar Terbaik Kokurikulum (Sekolah Kebangsaan / Sekolah Menengah Kebangsaan).

-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
23 Ogos 2023
_____________________________________________________________________________________________________________________________

Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.
_____________________________________________________________________________________________________________________________